[ad_1]
Peralihan kepada penggunaan lesen memandu digital menjadi antara langkah pendigitalan terkini yang dilakukan oleh kerajaan, selepas pengenalan cukai jalan digital, yang juga boleh diperbaharui melalui aplikasi mudah alih MyJPJ bermula 1 Februari nanti.
Dalam satu wawancara bersama Nasional FM (klik untuk video) yang dirakam pada Khamis, 11 Januari 2024, Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie menjelaskan perubahan yang bakal berlaku disebabkan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu digital berkenaan.
Antara situasi yang dibangkitkan adalah ketika pemandu ditahan di sekatan jalan. Dalam keadaan itu, lesen digital sudah memadai, dan sekiranya pengguna lebih senang menggunakan salinan fizikal lesen memandu, mereka perlu menunjukkan format baru lesen berkenaan dalam bentuk slip bercetak, bersama dengan lesen memandu kad yang telah tamat tempoh.
Bagaimana pula jika di hujung hari dan bateri telefon habis atau telefon rosak? Pegawai JPJ yang bertugas akan mempunyai peranti khas yang boleh memeriksa kesahihan lesen dan cukai jalan ini dengan hanya memasukkan nombor kad penganalan, jelas Abdul Rahman.
Untuk cukai jalan, tidak lagi perlu untuk mempamerkan salinan fizikal di cermin kereta anda sejak 10 Februari tahun lalu. Dalam keadaan yang diperlukan, misalnya ketika sekatan jalan, hanya nombor pendaftaran kereta diperlukan untuk pengesahan, sama seperti pengesahan lesen memandu melalui nombor kad pengenalan, tambah Abdul Rahman lagi.
Kerisauan orang awam berkaitan kesepaduan antara agensi, seperti JPJ dan PDRM dalam penguatkuasaan pula menurut Abdul Rahman, telah dibincangkan bersama dan disepakati dalam kalangan agensi yang terlibat itu.
Peralihan kepada bentuk digital bagi cukai jalan juga adalah disebabkan oleh maklum balas sebelum ini, terutamanya yang merujuk kepada penggantian pelekat cukai jalan yang bagi kebanyakan orang dirasakan susah untuk ditanggalkan dan meninggalkan kesan di cermin.
Pendigitalan perkhidmatan juga membantu memudahkan lagi proses keseluruhan, dan pengguna tidak perlu lagi bersesak di kaunter JPJ. Ia juga memberikan manfaat kewangan kepada JPJ; ia mampu menjimatkan sebanyak RM96 juta setahun, seperti dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Februari tahun lalu.
Sudah gunakan cukai jalan dan lesen memandu digital ini? Bagaimana pengalaman anda?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.
[ad_2]